• tes

    Berbagilah kepada sesama maka engkau akan bahagia

    Saturday 13 February 2016

    Peranan Zakat Dalam Pembangunan Ekonomi


    PDFCetakE-mail
    Kewajipan zakat merupakan suatu tanggungjawab yang membawa berkat dan memberi kesan yang berterusan bukan sahaja kepada mereka yang mengeluarkannya, tetapi juga mereka yang menerimanya. Pelaksanaan zakat memberi kesan bukan sahaja kepada individu, juga memberi kesan kepada seluruh lapisan masyarakat. Zakat turut berperanan dalam mempertingkatkan kebajikan masyarkat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi. Zakat dilihat mampu mengikis rasa sombong golongan kaya dan mengelak golongan fakir iskin dari meminta-minta. Harta yang diperoleh golongan kaya sebenarnya terdapat sebahagian hak golongan fakir dan menjadi kewajipan golongan kaya menunaikan hak tersebut.
    Allah S.W.T telah mewajibkan zakat sebagai salah satu jaminan sosial kepada masyarakat terutama kepada golongan yang amat memerlukan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat dan sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan rohani setiap Muslim. Zakat juga bertindak sebagai satu mekanisma yang penting kepada sesebuah negara Islam bagi menjamin kemaslahatan rakyat seluruhnya. Zakat juga mempunyai keupayaan dan kekuatan bagi membasmi kemiskinan dan menjamin keseimbangan jurang antara golongan kaya dan miskin melalui mekanisma agihan semula kekayaan dalam masyarakat.
    Zakat merupakan suatu pendapatan yang tetap dan menjadi kewajipan untuk sentiasa dilaksanakan oleh sesebuah negara Islam dan ianya tidak akan terhenti. Oleh itu, negara Islam dapat menggunakan sumber zakat bagi membina kekuatan ekonomi, sosial, pendidikan dan akhirnya dapat membina kekuatan Umat Islam secara tidak langsung membina kesatuan Ummah yang jitu. Masalah membasmi kemiskinan merupakan tujuan utama sistem zakat dalam Islam melalui penyediaan saraan hidup dan modal yang mencukupi bagi golongan yang berhajat. Saraan hidup daripada zakat ini diperuntukkan kepada golongan yang tidak mampu bekerja dengan sebab-sebab cacat anggota atau sebagainya.
    Modal pula diperuntukkan kepada golongan yang mampu bekerja tetapi tidak mempunyai modal untuk menjalankan pekerjaan. Kedua-dua peruntukkan ini diberi dengan kadar yang mencukupi sesuai dengan keadaan ekonomi, masa, tempat dan keperluan fakir miskin itu. Saraan hidup ini hendaklah mencukupi untuk makan, minum , pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan kesihatan. Manakala modal pula hendaklah mencukupi kadar modal sesuatu projek yang hendak dijalankan. Pemberian saraan hidup dan modal serta tujuan-tujuan lain adalah dengan kadar mencukupi. Kadar mencukupi untuk saraan hidup yang diambil kira daripada lima keperluan asas hendaklah diberi selama mana dihajati dan difikirkan perlu oleh golongan tersebut walaupun untuk sepanjang hidupnya atau dengan cara bulanan dan sebagainya. Selain dari alat membasmi kemiskinan, zakat juga merupakan alat untuk memerangi masalah riba yang dilaknat oleh Allah ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam proses perlaksanaan riba. Dengan penyediaan modal bererti tertutuplah pintu sistem pinjaman yang dikenakan riba. Modal daripada zakat boleh diberikan kepada fakir miskin yang berhajat untuk membuka sesuatu pekerjaan yang termampu olehnya, sama ada sebagai pemberian tunai atau sebagai pinjaman tanpa faedah.

    No comments:

    Fans Page